CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday 6 August 2011

224 Pakar IT Kumpul Bincang Perkembangan Inovasi Teknologi ICT


Kuantan, 28 Jun - Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Persatuan Informasi Digital dan Komunikasi Tanpa Wayar (SDIWC) menganjurkan Seminar Antarabangsa Kejuruteraan Perisian & Sistem Komputer 2011 (ICSECS’11) yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini di UMP Gambang.

Seminar yang kali kedua bertemakan “Memupuk inovasi pesat dalam ICT" ini adalah landasan terbaik penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan dan berkongsi pengalaman mengenai aplikasi, penemuan dan teknologi terbaru melibatkan lapangan kejuruteraan perisian dan sains komputer.

Bersempena dengan persidangan ini, turut diadakan Majlis Makan Malam yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohd. Sharkar Shamsudin mewakili Menteri Besar Pahang.
                                                             

Menurut YB Dato' Haji Mohd. Sharkar dalam ucapannya berkata, persidangan ini berjaya mengumpulkan  penyelidik terkemuka dan berinovasi, pembangun dan pengamal IT untuk membincangkan tentang bagaimana ICT boleh menggalakkan perkembangan inovasi secara pesat untuk kebaikan manusia melalui inovasi idea baharu dan penyelesaian yang praktikal dalam bentuk produk serta perkhidmatan ICT.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dalam cadangan bajet 2011 turut menekankan peranan ICT dalam membantu negara mencapai status berpendapatan tinggi.

"Sebagai menyokong Wawasan 2020, kerajaan negeri juga telah melancarkan Pelan Bertindak MSC Malaysia di negeri Pahang bagi menyediakan proses transformasi  pengetahuan berasaskan  ekonomi yang kini berada di fasa kedua. Bagi fasa pertama, pelbagai inisiatif terdiri daripada program pembangunan asas yang diperlukan, Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Pahang di Bukit Gambang Resort.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, inovasi ICT mampu membantu  dalam menyelesaikan masalah dan meningkatkan kualiti kehidupan termasuk isu pemanasan global, penyakit serta masalah kemiskinan.

Tambah beliau lagi, dalam merealisasikan visi UMP sebagai universiti teknologi bertaraf dunia, ianya telah memanfaatkan penguasaan inovasi dalam teknologi kejuruteraan, maklumat dan komunikasi sejak penubuhannya pada tahun 2002.

 


UMP juga pernah dianugerahkan merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang memperoleh Anugerah Perdana Teknologi Maklumat   (APTM) dalam Sektor Awam menerusi aplikasi e-Management yang dibangunkan universiti ini untuk pelajar, warga kerja dan pemegang taruh.

Antara yang menyampaikan ucaptama adalah Prof. Dr. Ezendu Ariwa daripada London Metropolitan University, United Kingdom dan Dr. David Taniar daripada Monash University, Australia bagi membincangkan tajuk mengenai perkomputeran hijau dan  proses maklumat teknologi maklumat.

Manakala, Prof. Dr. Muhammad Abdul Awal dari Jabatan Kompter Sains dan Kejuruteraan North South University, Bangladesh berkongsi pengalaman mengenai cabaran teknologi maklumat untuk pembangunan ekonomi di kawasan pedalaman di negara itu.

Hadir sama Ahli Lembaga Penasihat SDIWC, Profesor Madya Dr. Eyas El-Qawasmeh dan Dekan FSKKP, Profesor Madya Dr. Jasni Mohamad Zain.

Sebanyak 224 pembentang hadir melibatkan antaranya peserta daripada Malaysia, Algeria, Austria, Bangladesh, Belgium, Brazil, Perancis dan Finland.
 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor


Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 30-06-2011, 10:50:46


























No comments:

Post a Comment