CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday 11 August 2011

UMT Signs Aggreements with Telekom Malaysia for Broadband Capacity Upgrade

Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini telah memeterai perjanjian dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menaiktaraf kapasiti perkhidmatan jalur lebar TM Direct dari 16Mbps ke 45Mbps.

Dengan peningkatan kapasiti capaian Internet ke 45Mbps ini, UMT akan berupaya meningkatkan keberkesanan sistem operasinya di seluruh kampus termasuk semua jabatan dan dewan kuliah.

Di majlis ini, TM telah diwakili oleh Y.Bhg Dato’ Adnan Rofiee, Ketua Pegawai Operasi, TM Retail, Malaysia Business, TM manakala UMT diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Sulaiman Bin Md Yassin, Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu .


Perkhidmatan jalur lebar TM Direct yang disediakan oleh TM ini akan memberikan UMT capaian Internet berkelajuan tinggi yang dapat memenuhi segala keperluannya sebagai sebuah organisasi pendidikan yang mementingkan kualiti dan sentiasa mengorak langkah untuk maju kehadapan. Sehubungan dengan itu, teknologi telekomunikasi yang baik dan keselesaan dalam mengakses maklumat dari Internet bukan sahaja akan menambah pengetahuan pihak pengurusan, tenaga pengajar dan pelajarnya, tetapi ia juga dapat meningkatkan prestasi dan daya saing UMT dalam sektor pendidikan global yang semakin kompetetif.

Prof. Dato’ Dr. Sulaiman Md Yassin dalam ucapannya berkata, ” Kami berharap dengan penaiktarafan infrastruktur ini, pelajar UMT akan dapat menerapkan gaya hidup digital masa kini, sekaligus memperolehi pencapaian yang cemerlang dalam pengkhususan pengajian masing-masing”.

Berucap di majlis tersebut, Dato’ Adnan Rofiee berkata, “Penyediaan perkhidmatan litar suwa jalur lebar TM Direct daripada TM ini adalah bertepatan pada masanya kerana ia dapat menyokong pembangunan UMT, disamping meningkatkan keberkesanan pengurusan dan sistem pentadbiran jabatan-jabatan di seluruh kampus”.

”Selain capaian Internet yang laju, TM juga turut menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tambah nilai seperti “web hosting” dan “storage access network” kepada UMT. Dengan ini, UMT akan dapat menyediakan kemudahan ICT yang menyeluruh kepada pelajar-pelajarnya. Selain dari itu, pihak UMT juga akan dapat menikmati penjimatan kos mengurus dan menyelenggara rangkaian datanya kerana ianya akan dipantau dan diselenggarakan sepenuhnya oleh TM melalui Pusat Operasi Rangkaiannya yang berpusat di Kuala Lumpur”, tambah Dato’ Adnan.

Majlis yang diadakan pada hari ini juga merupakan salah satu usaha TM dalam menyokong usaha Kerajaan merealisasikan matlamat penubuhan Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECER). ECER yang dilancarkan secara rasmi oleh YAB. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 29 Oktober 2007 di Kuala Terengganu menumpukan kepada tiga sektor utama iaitu Pertanian, Pelancongan dan Pendidikan.

No comments:

Post a Comment